Thursday, June 22, 2006

duhai DIRI

bismillah..
rasa sedih dan gelisah pasti akan ada pada mereka yang melalui saat pahit dalam hidup. walau kita cuba meyakinkan diri bahawa ini suma adalah ujian dariNya namun sebenarnya kita tak mampu menahan diri dari perasaan tak gembira. kenapa? sebab kita cuma manusia biasa. cuma kekuatan dalam diri yang menemani. tapi camne kita nak dapat suma tu? jawapannya adalah dengan mendekatkan diri kepadaNya.
turun naik seseorang dalam kehidupan adalah lumrah. hidup umpama putaran roda dan tidak selamanya kita di atas. mungkin ni cuma madah penyedap rasa namun hakikat kesukaran cuma kita fahami seandainya kita melaluinya sendiri.

duhai diri,
andai kau ingain tabah..tabahla
andai kau ingin menangis..menangisla
andai kau ingin merungut..merungutla
andai kau ingin kuat..kuatla

semua perasaan adalah kepunyaan dirimu
hanya Allah Yang Maha Tahu

Thursday, June 08, 2006

baru pas exam

assalmaualaikum
alhamdulillah saya baru selesai exam o & g. seawal ari khamis saya telah bercuti. dapatlah berehat sebentar. emm apa khabar ya rakan2 yang telah menamatkan pengajian. moga suma nya dalam keadaan sihat dan sejahtera..

saya belum berkesempatan untuk ke mana2 walaupun cuti sekolah hampir tiba di penghujung. insyaAllah jika diizinkan mungkin kami akan ke pantai ujung minggu ni untuk merehatkan fikiran dan minda.moga suma pe yang dirancangkan akan berjalan lancar :)

Monday, June 05, 2006

pimpinan rumahtangga

Pimpinlah rumahtangga ke arah syurga
Fahamilah,
Kehidupan adalah pelayaran menuju ke destinasi yang abadi. Jika dahulu kamu belayar sendirian, kini kamu berdua dalam pelayaran untuk mengharungi badai gelombang yang merbahaya dan ganas ini. Ramai yang tersungkur lantaran terpukau dengan cahaya sang suria dan keindahan wajah bulan serta kerdipan sang bintang. Mereka leka, sedang yang menunggu mereka adalah kehidupan yang amat panjang dan tidak diketahui untung nasib mereka. Janganlah kamu hidup seperti mereka, menjadikan hawa nafsu sebagai raja lalu hati menjadi gelap sehingga tertutup ia dari pancaran Nur Allah yang terang dan nyata. Apakah pentingnya hidup ini bagimu jika kehidupan dipenuhi dengan impian yang palsu, amalan-amalan yang batil, hidup dengan ketawa keriangan, dan airmata dititis kerana dunia.
Fahamilah,
Tiada keindahan hidup ini jika amanah Allah tidak didahulukan. Amanah Allah adalah Agamanya. Hidup bukannya untuk mengutamakan nafsu perut dan kepuasan yang membutakan, tetapi hidup adalah ujian kesetiaan diri dengan Tuhan, hidup adalah untuk mendahulukan ajaran-Nya bukan ajaran nafsumu dan syaitan.
Sahabatku yang dikasihi,
Kini engkau melangkah ke dunia baru, dunia kepimpinan, dunia yang diujikan kepadamu seorang yang bernama wanita. Dia mempunyai sifat dan citarasa yang berlainan denganmu, halus perasaannya dengan satu harapan dan impian. Bimbinglah tangannya ke syurga jannah. Temukan ia dengan Tuhannya, temukan ia dengan Nabinya, temukan ia dengan hamba-hamba yang bertakwa. Peliharalah ia baik-baik kerana ia adalah hadiah dari Tuhanmu, jangan terlalu keras dan jangan terlalu lembut. Bertegaslah kamu dalam urusan akhirat dan berlemah lembutlah kamu dalam urusan dunianya. Isterimu adalah bakal menjadi ibu kepada anak-anakmu, sempurna engkau mendidiknya, nescaya sempurnalah anak-anakmu, sumbang engkau mendidiknya, sumbanglah anak-anakmu. Tidak ada yang menemukan perkahwinan kamu ini melainkan dakwah yang menemukannya. Persiapkanlah dirimu dan isterimu dengan ilmu dan amal agar setiap langkah perjalanan tersusun indah dan perkasa. Orang lelaki beriman adalah impian setiap wanita yang baik, ia adalah lambang kekuatan dan kegigihan, ia adalah lambang pelindung dan penghibur. Bentuklah ia mengikut acuan yang kamu inginkan dengan kasih sayang dan ingatlah, menyalahkan kesalahan isteri apabila kamu bersalah adalah melambangkan kelemahan peribadimu. Jadikanlah dirimu tiang yang kukuh untuk isterimu berpaut ketika ujian dan masalah menimpa rumahtanggamu. Jangan engkau tonjolkan kesusahanmu kerana isterimu tidak mampu bergembira jika engkau bersedih. Isterimu adalah teman yang terbaik dan yang paling dipercayai.
Saudari yang dikasihi,
Kini engkau melangkah ke alam dewasa. Dewasakanlah pemikiran dan jiwamu. Suami adalah hadiah dari Tuhanmu, syurga adalah dibawah keredhaannya. Bermujahadahlah terhadap nafsumu untuk melayaninya dengan baik dengan senjata kasih sayang. Di akhir zaman ini amat sedikit wanita yang solehah sehingga Nabi bersabda umatnya yang paling ramai ke neraka adalah di kalangan wanita. Nekadlah dirimu, tundukkan khayalanmu, keredhaan Tuhan yang dicari dengan berwasilah keredhaan suamimu. Janganlah kamu layannya seperti kawanmu atau saudaramu atau keluargamu, ia adalah lebih dari mereka. Hidupmu kini bukannya untuk menyukakan hati keluarga dan saudaramu tetapi adalah untuk suamimu, ia amat berat tetapi itulah jalan ke syurga. Hati yang mantap imannya akan merasai manis dengan ujian dan merasa sengsara dengan nafsu. Wanita yang solehah adalah wanita yang suaminya merasai puashati terhadap layanannya. Janganlah kamu angkuh dengan layananmu kerana belum tentu suami menyukainya. Hidupmu kini memasuki pelajaran yang baru iaitu pelajaran mengenali suami, apa yang ia suka dan apa yang ia benci, mengenali wataknya dan mengenali kehidupannya. Ia adalah bakal ayah kepada anak-anakmu. Kamu mestilah juga bertindak menjadi penasihat ketika dia lupa, tegurlah dia baik-baik dan jangan sesekali merendahkannya atau membandingkannya dengan lelaki yang lain. Kerana Asiah terus berlemah lembut dengan kekejaman Firaun, maka ia menjadi wanita tauladan. Jadikanlah keluarga kalian sebagai keluarga dakwah dimana bila manusia melihat rumahtangga kalian, mereka bagaikan melihat cahaya Islam yang memancar indah. Semoga berbahagia ke akhir hayat.

Thursday, May 25, 2006

Thursday, April 27, 2006

pendidikan seawal dalam kandungan

PERKAHWINAN adalah ibarat perjudian kepada pasangan yang mendirikan rumah tangga. Sekiranya rumah tangga yang dibina atas dasar cinta dan kasih sayang berjaya maka bahagialah seisi keluarga. Jika sebaliknya, akan runtuhlah rumah tangga itu dengan meninggalkan kenangan pahit.
Setiap pasangan yang berkahwin berkeinginan mempunyai cahaya mata. Cahaya mata adalah salah satu antara penyeri dan pengukuh bagi pasangan suami dan isteri. Kebanyakan ibu yang mengandung anak pertama akan merasa kelainan, terutama dalam segi kesihatan. Pada awal mengandung ibu yang hamil perlu menjaga kesihatan terutama dari segi pemakanan dan pergerakan juga harus berhati-hati supaya kandungannya tidak keguguran. Jika ini berlaku, sudah pasti pasangan berkenaan akan kecewa.
Keperluan manusia kepada anak termasuk dalam sebahagian keinginan manusia sebagaimana firman Allah, Harta benda dan anak pinak itu adalah perhiasan hidup di dunia dan amalan-amalan soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhan mu sebagai pahala balasan dan lebih baik sebagai asas yang memberikan harapan. (Al-Kahfi: 46)
Sehubungan itu, Pusat Pembangunan Keluarga Islam (PPKI) Bahagian Pentadbiran Undang-undang Syariah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengadakan seminar khusus untuk ibu-ibu hamil di sebuah hotel di ibu negara baru-baru ini.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-undang Syariah Jawi, Che Husain Isa, objektif penting PPKI adalah memberi kefahaman mendalam tentang peranan dan kewajipan ibu bapa dalam membina zuriat yang cemerlang bermula daripada awal perkahwinan. Ia juga memperkatakan tentang pentingnya penjagaan dan amalan terbaik sebelum, semasa dan selepas kelahiran menurut pandangan Islam dan ilmu perubatan moden.
Seminar itu juga merupakan satu usaha mempromosi perkhidmatan Pusat Pembangunan Keluarga Islam (PPKI) kepada masyarakat dalam melahirkan keluarga yang mantap dan sejahtera.
PPKI mempunyai sembilan cawangan di masjid-masjid di Wilayah Persekutuan.
Dua ahli panel seminar ialah pensyarah Universiti Malaya, Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail yang membentangkan kertas kerja mengenai penjagaan dan amalan sebelum dan semasa hamil.
Pakar perbidanan dan sakit puan Hospital Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), Dr. Salleh Mohd. Yatim pula membentangkan kertas kerja bertajuk Proses Kelahiran, Penjagaan dan Amalan Selepas Kelahiran.
Sharifah Hayaati menekankan pentingnya penjagaan ketika hamil agar zuriat yang dikandung sentiasa dalam keadaan baik. Dalam Islam ada lima peringatan penting iaitu zuriat itu nikmat, amanah, ibadat, jihad dan ujian.
Beliau turut menggalakkan ibu mengandung membaca al-Quran, membanyakkan zikir dan sembahyang sebagai satu usaha supaya zuriat yang lahir akan sihat, soleh, cemerlang dan mudah untuk dididik. Ini kerana jiwanya telah disemai dengan perkara-perkara yang baik ketika dalam kandungan lagi.
“Golongan bapa juga perlu menjaga adab dan kelakuan serta tidak melakukan perkara-perkara yang tidak baik ketika isteri sedang mengandung kerana perbuatan mereka nanti akan mempengaruhi tingkah laku anak yang dalam kandungan isteri,” katanya.
Para peserta seminar juga menyaksikan tayangan slide yang mengandungi pelbagai gambaran dan ilmu untuk persediaan menyambut kelahiran orang baru dalam keluarga.
Sementara itu, Dr. Salleh menasihatkan ibu-ibu yang hamil membuat perancangan awal ketika hendak bersalin. Mereka elok memilih hospital-hospital yang berdekatan dengan rumah kerana ini memudahkan dan tidak merbahayakan mereka ketika hendak bersalin memandangkan keadaan jalan raya di Kuala Lumpur yang sentiasa sesak.
Satu lagi peringatan beliau adalah supaya ibu hamil menjaga kandungan di peringkat awal dan semasa hendak melahirkan selain menyampaikan tip-tip penting untuk pengetahuan para peserta seminar.
Aktiviti paling menarik adalah sesi soal jawab di mana Dr. Salleh menasihatkan kepada para bapa supaya bertanggungjawab dan mengambil berat terhadap isteri masing-masing terutama semasa hendak bersalin kerana sokongan daripada suami adalah semangat bagi isteri.
Beberapa orang pasangan suami isteri yang hadir melahirkan rasa gembira kerana berpeluang mengikuti seminar tersebut.
Pasangan yang bakal menimang cahaya mata pertama dalam masa terdekat ini, My. Sarah Hamzah, 24, yang ditemani suami Mazwan Manan, 26, merakamkan rasa bertuah menghadiri seminar itu kerana dapat menimba banyak ilmu dan cara-cara hendak menghadapi penjagaan, amalan sebelum, semasa hamil dan menjaga pantang selepas bersalin.
My. Sarah sanggup berkorban berhenti kerja kerana ingin menjaga kandungannya yang daripada awal lagi menghadapi masalah.
Sementara itu, Mazwan Manan yang mengakui berdebar-debar menantikan kelahiran bayi pertamanya berjanji akan membantu menjaga isteri dan bayi selepas isterinya bersalin.
Walaupun sudah mempunyai tiga cahaya mata, Roslina Mohd. Tarmizi, 32 dan suaminya Mohd. Irman Mohd. Arsan juga tidak mahu ketinggalan menambah ilmu dengan menghadiri seminar itu.
Roslina yang pernah keguguran tiga kali berasa penting datang ke seminar itu kerana ingin mencari jalan mengelakkan perkara itu berulang.
“Saya amat gembira kerana suami selalu memberikan kerjasama sama ada apabila diajak menghadiri seminar selain selalu membantu melakukan kerja-kerja di rumah,” tambahnya.