Wednesday, April 13, 2005

bengkoknya perempuan

Leceh betullah orang perempuan ni. Tegur sikit dah merajuk. Kena pujuk, nasihat lembut-lembut, cakap baik-baik... hai leceh betul. Tetapi kalau dibiarkan menjadi-jadi pulak! Kita punya kerja pun dia nak langgar. Buat kerja ikut semangat, tak pandang kiri kanan lagi." "Eh, apa yang kau ngomelkan ni Fuad? Siapa yang buat hal kali ni?" "Staf aku si Lina tu lah. Baru tegur sikit, dah monyok. Hari ni dah tak datang kerja. Susahlah macam ni. Kerja pejabat akan terganggu." "Entah-entah dia ada hal lain. Engkau belum siasat dah jump to conclusion." "Alaah... orang perempuan memang macam tu. Kan Nabi pun kata yang orang perempuan tu ibarat tulang rusuk yang bengkok? Sebab dia bengkoklah orang perempuan suka buat perangai. Kita nak luruskan nanti takut patah pulak. Kalau dibiarkan terus, makin bengkoklah. Hai susah, susah." "Jangan cakap macam tu, Fuad. Maksud Hadis to bukan begitu." "Eh, kan Hadis itu sudah lumrah diperkatakan? Apa yang tak kena pulak, Naim?" "Maksud aku begini. Menafsirkan Hadis itu seolah-olah orang perempuan tu memang Allah ciptakan sebagai satu golongan yang "disadvantaged" atau terkurang seperti yang engkau cakapkan seolah-olah mengatakan yang Allah itu berat sebelah. Walhal Allah itu Maha Adil dan Dia ciptakan lelaki dan perempuan itu sama sahaja dari segi kemampuan mereka untuk meningkatkan iman dan menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Bengkok yang disebut di dalam Hadis itu bukan bermakna yang mereka itu sentiasa cenderung ke arah melakukan perkara-perkara yang tidak baik. "Buktinya, apabila Rasulullah s.a.w. datang membawa ajaran Islam, baginda menaikkan taraf perempuan yang sebelum itu dianggap "golongan yang tak berguna" kepada ?sayap kiri? kepada masyarakat. Baginda ada memberikan tugas-tugas yang penting kepada orang perempuan, terutama bila kaum lelaki keluar berperang. Sebagai sayap kiri, tentulah mereka diiktiraf seimbang dengan sayap kanan.? "Tapi, memang orang perempuan kuat merajuk. jenuh kita nak layan dia." "Merajuk bukan berlaku pada orang perempuan saja. Orang lelaki juga kuat merajuk. Mungkin cara merajuk atau cara ?protes? tu yang tak sama. Punca merajuk sebab iman lemah, bukan sebab jantina. "Lagipun, apa salahnya kalau kita tegur orang perempuan dengan berlemah-lembut dan berhikmah. Bukankah begitu tuntutan Islam. Kalau kita marah-marah sehingga mereka merajuk, bukan mereka yang salah, tetapi kitalah yang salah. Entah-entah waktu itu kita lebih `bengkok' daripada mereka!" "Eh, eh engkau ni. Asyik nak bela orang perempuan aje." "Aku bukannya nak bela siapa-siapa. Aku cuma nak betulkan pemahaman yang tidak betul terhadap Hadis tu." "Apa maksud sebenar Hadis tu?" "Orang perempuan yang diibaratkan seperti tulang rusuk yang bengkok itu bukan bermakna satu kekurangan, tapi sebenarnya adalah satu ?penyempurnaan?. Sepertimana juga usus manusia yang berlipat-lipat dan berlingkaran itu bukanlah satu ketidakbetulan tetapi begitulah keadaan usus yang sempurna. Bengkoknya tulang rusuk itu kerana ia bersifat `pelindung'. la melindungi organ-organ penting di dalain tubuh manusia seperti jantung, paru-paru, hati dan limpa. Kalau tulang kakilah yang diletakkan di dada manusia, sudah tentu ia tidak dapat berperanan sepertimana tulang rusuk yang bengkok itu " "Oh begitu. Jadi bila Nabi katakan yang orang perempuan itu seperti tulang rusuk yang bengkok, beliau hanyalah hendak memperlihatkan perbezaan peranan mereka berbanding lelaki?" "Begitulah. Selain itu, maksud `tulang rusuk yang bengkok' itu ialah sifat `rahmah'. ?Ini bermakna bengkoknya wanita ialah sifat semulajadi yang Allah ciptakan untuk wanita agar dia dapat memainkan peranan yang tidak dapat dimainkan oleh lelaki. Orang perempuan itu sifat semula jadinya penyayang. Perasaannya halus. Kerana adanya sifat-sifat itu, orang perempuan boleh sabar menjaga dan melayan anak-anaknya yang berbagai kerenah. Mereka juga sabar dan tekun melakukan kerja-kerja rumah yang mungkin kepada kita sangat membosankan.? "Begitu jugalah di dalam masyarakat, orang perempuan sangat sesuai menjadi guru, jururawat, dan apa juga bidang yang dalam kemampuannya. Oleh itu jangan cuba buang sifat "bengkok" ini daripada orang perempuan dengan memberikan mereka tugas-tugas yang tidak sesuai. Kalau tulang rusuk sudah patah, organ-organ yang penting tadi tidak akan selamat. "Jadi peranan mereka sebenarnya penting. Bayangkanlah betapa besar peranan dan jasa ibu yang menjaga dan mengasuh kita dari kecil hinggalah besar" "Hmm, betul tu Naim." "Sebenarnya tiada siapa yang 'bengkok' mengikut tafsiran yang engkau gunakan. Bengkok atau tidaknya seorang lelaki atau perempuan itu bergantung kepada iman dan akhlaknya. Orang lelaki kalau tidak berusaha untuk membuang sifat-sifat yang terkeji di dalam dirinya pun akan jadi bengkok juga, malah lebih bengkok dari orang perempuan yang ada usaha membaiki dirinya." "Baru aku sedar, akulah yang bengkok. Asyik marah-marah dan tidak sabar" "Memang tidak sepatutnya kita lihat orang lain itu lebih `bengkok' daripada kita. Sebaliknya kita patut sentiasa merasakan yang kitalah yang lebih `bengkok' daripada semua orang lain di muka bumi ini... "
“Ya Allah, jika aku jatuh cinta, cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya padaMu agar bertambah kekuatanku untuk mencintaiMu. Ya Muhaimin, jika aku jatuh hati, izinkanlah aku menyentuh hati seorang yang hatinya terpaut padaMu agar tidak terjatuh aku dalam jurang cinta nafsu. Ya Rabbana, jika aku telah jatuh hati jagalah hatiku padanya agar tidak berpaling daripada hatiMu. Ya Allah, jika Kau halalkan aku merindui KekasihMu jangan biarkan aku melampaui batas sehingga melupakan aku pada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepadaMu. Ya Ilahi, kupohon petunjuk dan inayahMu…kurniakan daku mukhlis pilihanMu yang mampu memimpinsinar kasihku dalam mendamba anugerah rahmatMu, amin.”

merancang keperluan kewangan

Merancang Keperluan Kewangan Dalam Kehidupan Kita

Dalam erti kata perancangan kewangan, kita boleh simpulkan keperluan merancang untuk empat peringkat kehidupan. Cuba banding-bandingkan adakah kita mengalami keperluan yang sama dalam fasa kehidupan kita?

FASA 1 - awal 20-an sehingga awal 30-an
Fasa ini dikenali dengan tahun permulaan. Inilah titik permulaan bagi ramai di antara kita yang mulai masuk ke dunia pekerjaan. Tidak kurang juga yang mungkin akan memasuki alam perkahwinan. Jika difikirkan banyak juga keperluan kewangan kita di tahap ini, antara lain :-
* Pembelian kereta
* Pembelian rumah
* Memilih corak pemakaian untuk pekerjaan
* Membayar hutang pendidikan
* Memberi wang ihsan pada ibu bapa
* Menyumbang kepada ahli keluarga yang memerlukan
Hati-hati supaya tidak terjebak dengan hutang kad kredit sewaktu awal pekerjaan. Dari segi pelaburan pula, masa inilah kita harus bersedia menerima risiko dan mencuba pelaburan dalam amanah saham yang berbentuk ekuiti. Pembelian polisi takaful tabungan juga digalakkan untuk menyediakan ‘payung sebelum hujan’.

FASA 2 - awal 30-an hingga awal 40-an
Waktu ini, insya-Allah pendapatan kita sudah mulai meningkat. Jika kenaikan gaji purata 5% setahun dan kita mulai bekerja sejak awal 20-an, besar kemungkinan gaji kita sudah naik sekurang-kurangnya 50%.Dari segi keperluan kewangan pula, antara lain ianya mungkin meliputi:-
* Penyusunan semula hutang
* Pembelian kereta yang lebih mewah
* Pengubahsuaian rumah atau pembelian rumah baru
* Peruntukan untuk melancong/mengerjakan haji/umrah
Dari segi pelaburan, mereka yang di peringkat ini masih boleh menerima risiko tetapi tidak seperti pada fasa pertama tadi. Jika pemilihan saham amanah, mungkin yang berbentuk ‘balanced’ atau potfolio yang mengandungi 50% bon dan 50% saham. Bagus juga kita mulai membeli tanah atau hartanah yang lain untuk pendapatan tambahan.Pembelian polisi takaful pula mungkin pada fasa ini terfikir tentang kesihatan. Jadi ramai mula mengambil polisi ‘critical illness’ atau mulai menabung untuk pendidikan anak-anak.

FASA 3 - awal 40-an hingga awal 50-an
Kita sudah pun masuk waktu senja/asar! Ya, puan-puan pembaca yang dirahmati Allah. Jadi bersikap berhati-hatilah. Jika sewaktu muda itu belanja agak keras – pantang ada ‘sale’ mesti kita ada, waktu ini banyakkan hadir diri ke majlis ilmu atau membuat kerja amal.Keperluan kewangan pula berbeza sedikit:-
* Penjelasan hutang - wang KWSP akaun 2 boleh dikeluarkan sewaktu umur 50.
* Penabungan untuk pencen kelak
* Pembelian aset baru mungkin berkurangan sebab takut mengalami beban hutang yang berlebihan.
* Perbelanjaan untuk kesihatan diri
Pelaburan pula mungkin berkurangan tetapi lebih banyak pemantauan yang harus dibuat ke atas pelaburan yang dahulu. Kita pula sudah lebih mengetahui tentang risiko dan pulangan melalui pengalaman. Pembelian polisi takaful yang baru juga berkurangan tetapi terfikir untuk menjadi wakil takaful untuk mendapat pendapatan yang lebih. Kita juga mulai berjinak dengan dunia perniagaan untuk menyiapkan diri menempuh tempoh persaraan nanti.

FASA 4 - awal 50-an akhir usia
Alhamdulillah, Allah telah memanjangkan umur kita dan memberi kesihatan, satu nikmat yang tidak ternilai harganya. Ramai di antara kita sudah memulai perancangan pencen kelak (walaupun waktu ini sudah lewat untuk merancang).Antara lain, keperluan kewangan adalah:
* Kesihatan
* Penjelasan hutang yang berkos tinggi - jangan mati meninggalkan hutang; bukan harta.
* Memulakan hobi baru seperti memancing, bersukan/bersenam, menjahit dan lain-lain.
* Memasuki kelab-kelab
Alam pelaburan baru mungkin hanya yang tidak berisiko tinggi seperti, Bon Merdeka untuk warga emas. Eloklah ambil peluang ini untuk memberi sedekah secara berterusan kepada yayasan-yayasan tertentu. Semoga Allah memberkati setiap FASA kehidupan kita yang serba singkat ini.

(Koleksi ANIS; Oleh Hajah Rohani Datuk Hj. Mohd Shahir)

kita OK, adakah anak isteri OK?

Kita OK, Adakah Anak Isteri OK?

Ayat ini sering kita dengar, malah menjadi hafalan sebahagian besar umat Islam. Terjemahannya berbunyi:“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.” (At-Tahrim: 6)Boleh dikatakan dalam setiap ceramah berkenaan peranan ibu bapa, para penceramah tidak lupa membacakan ayat ini. Tak kurang juga ia berkumandang di mimbar-mimbar masjid lewat khutbah Jumaat oleh para khatib. Tetapi yang amat disedihkan, tiada tindakan susulan yang wajar diambil oleh mereka yang bergelar suami atau bapa. Kita tahu pentingnya ayat ini, namun kita mengabaikannya. Seolah-olah kita langsung tidak pernah membacanya. Sekali lagi dan seterusnya, baca dan renunglah ayat ini berkali-kali dan bertindaklah dalam ruang lingkup tanggungjawab yang dibebankan Allah ke atas pundak kita.Kerana itu, sekalipun maksud lahir ayat itu sudah terang dan jelas, namun para sahabat Nabi s.a.w. dan para ulama mufassirin menafsirkannya lagi supaya perintah Allah ini dapat dihayati secara mendalam serta dapat dipraktikkan secara lebih berkesan di dalam institusi rumah tangga Muslim.Bagaimana cara memelihara diri dan ahli keluarga dari seksa api neraka? Cuba kita lihat huraian para ahli tafsir berkenaan kehendak, maksud dan tuntutan firman Allah s.w.t. ini.

1. Sayidina Ali Karramallahu wajhah berkata: “Ajarilah mereka (isteri dan anak-anak) dan didiklah mereka.”

2. Al-Hasan berkata: “Suruhlah merka supaya taat kepada Allah dan ajarlah mereka segala sesuatu yang baik.”

3. Imam Fakhrurrazi berpesan:“Meninggalkan larangan Allah atas dirimu.”

4. Muqatil pula berkata:“Hendaknya seorang Muslim mendidik diri dan keluarganya, menyuruh mereka melakukan kebaikan dan melarang mereka dari melakukan kejahatan.”

5. Di dalam tafsir Kassyaf pula disebutkan:“Meninggalkan maksiat dan melakukan ketaatan serta membentuk ahli keluarga sebagaimana membentuk diri sendiri.”

Kalau begitulah besarnya tuntutan dan kehendak ayat ini, maka wajiblah ia dijadikan panduan para ayah atau suami Muslim tidak kira di mana mereka berada. Mereka tidak boleh berlengah dan berpeluk tubuh lagi dalam soal pendidikan keluarga selepas membaca ayat ini. Mereka tidak boleh jadi ghurur (tertipu) dengan hanya memperbanyak ibadat sendirian walhal anak isteri terbiar tanpa didikan agama. Tiada jaminan kita akan selamat dari kehinaan di hari kiamat nanti kalau mengabaikan didikan terhadap anak isteri. Kalau ibadah kita OK, hubungan dengan Allah dan sesama manusia OK, tidak bermakna anak isteri kita pun OK sama. Melainkan kalau kita telah berusaha mendidik dan mengajak mereka untuk sama-sama membesarkan Allah, rindu pada syurga-Nya dan takut pada neraka-Nya. Moga ancaman seksa Allah Al-Jabbar itu cukup dan memadai untuk menggerunkan, menyedarkan dan menginsafkan kita dari kealpaan kita selama ini. Seandainya kita gagal mendidik isteri dan anak-anak ke arah keredhaan Allah s.w.t., buruklah nasib kita di sana. Marilah kita berdoa kepada Allah agar diberi kekuatan untuk mengamalkan perintah ini.

(Koleksi Anis: Oleh: Ruzana Hamim)

Monday, April 11, 2005

Kelantan


bismillah. dah pun selamat tiba dari percutian di kelantan pagi tadi. seronok memerhati kehidupan di sana. hujan emas di negeri orang hujan batu di negeri sendiri. lebih baik di negeri sendiri :) Posted by Hello

Sunday, April 03, 2005

PERTEMUAN BUKAN MILIK KITA

PERTEMUAN BUKAN MILIK KITA
Suara Hati
Pertemuan menghadiahkan kita kasih sayang
Jika cinta satu pasti bertemu ia tidak ternilai
Kerana antara hati kita
Telah tiada antaranya lagi
Yang ada hanya cinta kasih Ilahi
Kita berpisah hanya sementara
Kerana pertemuan bukan milik kita
Jasad dan suara berjauhan sentiasa
Namun cinta abadi
Biar terpisah selalu menderita
Kerana syurga menagih ujian
Sedang neraka dipagari oleh nikmat
Bertemu tidak jemu berpisah tak gelisah
Bicara kita adalah bicara sufi
Tanpa suara dan kata-kata
Kerana penghubung kita adalah suara hati
Bertemu berpisah kerana Allah
Lagu: Suara Hati
Lirik: Pahrol Mohd Juoi
P/S : saya sukakan lirik nasyid ni. sewaktu di SMKAKS selalu sahaja kami melagukannya. semalam tiba2 saya teringatkannya sebelum saya masuk tidur. lantas mencarinya dengan pantas. sebenarnya saya rindu pada rakan2 semasa sekolah dahulu. bertemu berpisah kerana Allah :)