Friday, July 14, 2006

Apabila bergelar muslim

Apabila bergelar Muslim
Oleh MD. ASHAM AHMAD

FRASA ‘masuk Islam’ tidak sesuai digunakan untuk merujuk kepada seorang yang mahu ‘jadi Muslim’ kerana ia tidak menggambarkan dengan tepat hakikat Islam. Masuk lawannya keluar, kalau boleh ‘masuk Islam’ kenapa tidak boleh ‘keluar Islam’?
Kita biasa menggunakan perkataan ‘masuk’ apabila merujuk kepada sesuatu ruang dan tempat, seperti memasuki sesuatu bekas, bilik, atau kawasan. Islam bukannya ruang dan tempat yang seseorang boleh masuk dan keluar.
Islam juga bukannya seperti sebuah pertubuhan atau parti politik. Apabila kita menyertai atau mendaftar sebagai ahli sesebuah pertubuhan atau parti politik kita dikatakan masuk pertubuhan atau parti politik berkenaan. Kita boleh keluar kalau kita mahu, ataupun dikeluarkan (dipecat atas sebab-sebab tertentu ) jika perlu, walaupun kita tidak mahu keluar.
Belum tentu orang yang ‘mendaftar’ sebagai orang Islam itu Muslim sekiranya dia tidak mahu jadi Muslim, sedangkan yang mahu jadi Muslim, walau tidak pernah atau tidak mahu mendaftar sekalipun tetap Muslim.
Yang sudah mendaftar atau yang didaftarkan secara automatik sebagai Muslim tetap bukan Muslim sekiranya dia tidak mahu jadi Muslim, walaupun permohonan atau kehendaknya untuk dikeluarkan dari senarai daftar orang Islam tidak diluluskan oleh mahkamah atau pihak berkuasa. Bagi yang tetap mahu jadi Muslim, dia tidak boleh dikeluarkan atau dipecat dari Islam dengan membuang namanya dari senarai daftar orang-orang Islam.
Islam pada hakikatnya adalah suatu sifat, dan Muslim ertinya orang yang bersifat dengan sifat Islam. Islam adalah penyerahan yang sebenar, yang membawa kepada keselamatan dan kesejahteraan terhadap diri yang menyerah, kerana ia satu-satunya penyerahan yang diterima.
Kalau Islam ditakrifkan sebagai penyerahan diri secara ‘sedar’ dan ‘rela’ kepada Allah, seseorang yang tidak mahu menyerahkan dirinya, atau menyerahkannya tanpa kesedaran dan kerelaan tidak boleh dinamakan Muslim.
Yang enggan menyerah itu tanpa ragu-ragu lagi adalah ‘kafir’, mereka secara terbuka enggan mengakui kebenaran Islam. Yang menyerah tanpa kesedaran itu ‘jahil’, dan yang menyerah tanpa kerelaan itu ‘terpaksa’; kedua-duanya bercanggah dengan penyerahan yang sebenar, yakni Islam.
Kesedaran adalah natijah daripada ilmu. Hanya yang insaf akan sebab dan akibat penyerahan itu boleh menyerah secara sedar. Masakan seseorang itu boleh dianggap menyerah sedangkan dia tidak tahu apa yang diserahkan, kepada siapa dia menyerah, dan bagaimana penyerahan itu mesti dilakukan. Kesemua itu terkandung dalam lafaz dua kalimah syahadah, yang diikrarkan oleh setiap orang yang mahu jadi Muslim.
Namun ada kemungkinan ia diikrarkan oleh seorang pembohong yang tidak maksudkan apa yang diikrarkan itu, ataupun seorang yang jahil yang tidak tahu apa maksud ikrarnya dan apa akibat daripadanya. Ikrar si pembohong dan si jahil tidak boleh diterima oleh sesiapa pun, masakan pula Allah boleh menerimanya!
Dengan sebab itu Islam menegaskan bahawa menuntut ilmu adalah kewajipan setiap yang benar-benar mahu jadi Muslim, lelaki dan perempuan, dan ilmu yang pertama ialah tentang ikrar yang dilafazkan: “Aku menjadi saksi bahawa tiada Tuhan yang wajib disembah selain Allah, dan aku juga menjadi saksi bahawa Muhammad itu adalah Pesuruh Allah (yang wajib aku taati)”. Dengan cara itu si pembohong tidak lagi boleh berdolak-dalik apabila dia diminta memenuhi ikrar yang dibuatnya, dan si jahil tidak lagi jahil kerana sudah diberitahu apa maksud ikrar itu. Kedua-duanya kini bersedia menanggung tanggungjawab yang mesti ditanggung akibat daripada ikrar yang dibuat itu.
Penyerahan secara terpaksa adalah penyerahan yang tidak ikhlas, yakni penyerahan yang sia-sia. Seseorang itu mungkin menyerah secara kebetulan kerana ibu bapanya mendaftarkan namanya sebagai orang Islam apabila dia dilahirkan, kemudian gagal mendidiknya tentang Islam sehinggakan sepanjang kesedarannya dia tidak pernah jadi Muslim. Ataupun, dia pada asalnya tidak didaftarkan sebagai Muslim, tetapi terpaksa masuk Islam, kerana ingin mencapai hajat-hajat yang lain dari jadi Muslim, seperti berkahwin. Justeru, apabila perkahwinannya tidak menjadi, dia mahu keluar Islam.
Kedua-dua bentuk penyerahan di atas, yakni penyerahan tanpa kesedaran dan kerelaan, adalah tidak diterima Allah.
Islam adalah penyerahan batin dan zahir sekali gus. Penyerahan batin adalah Islam yang tersembunyi yang dinamakan Iman. Iman adalah tasdiq, yakni mengenali dan mengisbatkan kebenaran yang dibawa oleh Muhammad tanpa ragu-ragu. Penyerahan zahir adalah Islam yang boleh didengar dan disaksikan orang. Ia merujuk kepada pengakuan lisan, dan kepatuhan terhadap apa yang diajarkan oleh Muhammad sebagai penzahiran pengakuan batin terhadap kebenarannya.
Yang menyerah batin tanpa zahir adalah fasiq. Yang menyerah zahir tanpa batin adalah munafik. Kedua-duanya membohongi ikrar yang dibuat. Kedua-duanya adalah manusia biadab, yang tidak menghormati tatasusila kehidupan bertamadun yang menjunjung ikrar dan janji. Si munafik, walau bagaimanapun, lebih jahat daripada si kafir, kerana dia bukan sahaja menolak Islam, tetapi berpura-pura masuk Islam kerana kepentingan-kepentingan tertentu, dan bersedia untuk keluar Islam sekiranya kepentingan-kepentingan itu tidak dicapai.
Soal murtad dilihat bermasalah oleh orang yang melihatnya dari sudut pandangan keluar-masuk, kerana murtad difahami sebagai keluar Islam. Apabila kita mengubah sudut pandangan kita dan melihat soal ini dari sudut ‘jadi’ atau ‘tak jadi’ Muslim, kita tidak boleh lari daripada menerima kesimpulan-kesimpulan berikut:
Pertama, seseorang yang tidak pernah ‘jadi Muslim’, pada hakikatnya memang sudah berada di ‘luar’ takrif ‘Muslim’, oleh itu tidak timbul lagi soal ‘keluar Islam’.
Kedua, Islam tidak boleh dipaksakan, ia adalah pilihan dan kehendak sendiri, dan dilihat dari sudut ini undang-undang bagi menyekat ‘keluar Islam’ adalah sia-sia kerana ia berdasarkan premis yang salah.
Walau bagaimanapun, undang-undang tetap ada tempat dan fungsi yang tersendiri. Undang-undang patut digubal bagi menghukum orang yang menghina agama Islam dengan membuat ikrar palsu bagi mencapai tujuan-tujuan peribadi. Undang-undang dan peraturan patut digubal bagi memastikan hanya yang yakin dengan kebenaran Islam dan benar-benar mahu ‘jadi Muslim’ akan diterima ‘masuk Islam’.
Kalau kita ada undang-undang dan peraturan bagi memastikan hanya yang benar-benar layak diberikan lesen memandu, takkanlah dengan hanya menyebut beberapa patah perkataan yang tidak pun difahaminya seseorang itu diberikan hak sebagai Muslim? Undang-undang dan peraturan-peraturan yang sesuai amat patut kita fikirkan bersama bukan sahaja bagi memelihara kehormatan dan kesucian agama Islam tetapi juga agama-agama lain, kerana mereka pun tentu tidak mahu golongan pembohong dan munafik ini kemudiannya dilonggokkan di kalangan mereka.

No comments: