Sunday, July 04, 2004

Takkan Ku Maafkan Diri Ini

Member forward kat aku nie.... baca arrr....


BERTENANG.....DAN TUMPUKAN PERHATIAN ANDA TERHADAP
BAHAN BACAAN INI.
Usia ayah menjangkau 70 tahun, namun tubuhnya masih
kuat. Dia mampu menunggang basikal ke kedai yang
jauhnya lebih kurang 2 kilometer bagi membeli
keperluan harian. Sejak kematian ibu 6 tahun lalu,
ayah bersendirian di kampung. Lantaran itu, kami
adik-beradik -5 orang semuanya- bergilir-gilir
menjenguknya.

Kami semua sudah berkeluarga, tinggal pula jauh dari
kampung halaman di Teluk Intan. Sebagai anak lelaki
sulung, saya mengambil tanggungjawab yang lebih.
Selain itu, kami adik-beradik sering menelefon ayah
bertanya khabar dan sebagainya. Setiap kali saya
menjenguknya, setiap kali itulah isteri saya
mempelawa dia tinggal bersama kami di Kuala Lumpur.

"Tak apalah, lain kali aja...!" jawab ayah. Puas 2
anak saya merayu-rayu, ayah tetap bertegas. Itu
jugalah jawapan ayah kalau Kak Long mempelawanya, Kak
Ngah mendesak ataupun adik-beradik saya yang lain
merayunya.
Bagaimanapun sesekali ayah mengalah. Namun sehari 2
berada di rumah anak-anaknya, dia
minta dihantar balik. Ada-ada saja alasannya. Suatu
hari Januari lalu, ayah mengikut saya ke Kuala Lumpur.
Kebetulan sekolah masih bercuti,
seronoklah anak-anak saya bermain dan bergurau senda
dengan atuk mereka.

Masuk hari ketiga, dia merayu nak balik kampung.
Seperti biasalah, ada-ada saja alasan tak logik yang
diberikannya. "Saya sibuk ayah, tak boleh
nak ambil cuti. Tunggulah sikit lagi, ataupun hujung
minggu ni saya hantar ayah," balas saya. Anak-anak
saya turut memujuk atuk mereka. "Tak apalah kalau kamu
sibuk sangat, belikan ayah tiket di Puduraya, biar
ayah naik bas," katanya membuat saya bertambah kecewa.
Memang ayah pernah berkali-kali naik bas pulang ke
kampung sendirian. "Tak usahlah..." kata saya memujuk
dan
merayu selepas makan malam itu. Ayah diam terus masuk
ke bilik bersama cucu-cucunya.

Bagaimanapun esok paginya ketika saya bersiap untuk ke
pejabat, ayah sekali lagi berpesan minta saya belikan
tiket bas di Puduraya. "Ayah ni, tak
faham ke, saya ni sibuk, sibuuuukkkk!!!" balas saya
terus keluar menghidupkan enjin kereta. Saya
tinggalkan ayah terkontang-kanting di muka pintu.
Sedih saya tengok mukanya. Di dalam kereta, isteri
saya memujuk. "Buat apa kasar
sangat dengan ayah? Cakaplah elok-elok! Kesian
dia...!" Saya terus membisu.
Sebelum isteri saya turun kereta sebaik tiba di
pejabatnya, dia berpesan agar saya penuhi permintaan
ayah. "Jangan lupa bang, belikanlah tiket ayah,"
katanya ringkas.

Di pejabat saya termenung panjang. Lalu saya meminta
cuti kecemasan, terus ke Puduraya membeli tiket
Transnasional ke Teluk Intan. Pukul 11.00 pagi saya
sampai ke rumah, terus beritahu ayah supaya bersiap.
"Bas bergerak pukul 2.00," kata saya ringkas. Saya
mengaku bersikap agak kasar ketika itu kerana didorong
rasa marah dengan sikap degil ayah. Ayah tanpa banyak
kerenah bersiap. Dia masukkan baju dan kain ke dalam
beg sandang. Lebih kurang pukul 12.30 saya bergerak ke
Puduraya.

Dalam perjalanan lebih kurang 1 jam itu, sepatah pun
saya tidak bersuara. Selalunya saya dan ayah akan
bersembang panjang setiap kali naik kereta
bersama. Ada-ada saja yang kami bualkan. Hari tu ayah
tahu saya marahkannya...
Dia pun enggan menyapa saya. Tiba di Puduraya, saya
terus menghantar ayah ke tingkat bawah stesen bas itu.
Selalunya saya akan membimbing lengan ayah tapi hari
itu saya biarkan ayah turun sendiri, cuma saya
perhatikan agar langkahnya tidak terganggu. Setelah
saya pastikan nombor tempat duduk ayah, saya bersalam
dan terus turun dari bas. Ayah langsung tidak
memandang saya
sebaliknya dia memandang ke luar tingkap. Ayah
merenung jauh.

Tepat pukul 2.00 bas bergerak. Saya pandang ayah tapi
dia masih melemparkan pandangan ke luar tingkap
mengelak daripada memandang saya. Setelah bas bergerak
jauh, saya menaiki tangga menuju ke kereta. Semasa
melalui gerai-gerai di hentian paling sesak itu, saya
terpandang susunan kek pisang di atas meja. Langkah
saya terhenti. Berdesup fikiran teringatkan ayah
kerana dia cukup suka makan kek itu. Pernah 2-3 kali
kalau dia menaiki bas pulang ke kampung, dia akan
meminta saya belikan makanan kegemarannya. Tapi hari
itu ayah tidak minta apa-apa. Saya terus memandu
pulang.

Tiba di rumah, fikiran rasa tidak menentu. Ingatkan
kerja di pejabat, ayah yang dalam perjalanan dan
isteri yang berada di tempat kerjanya. Malam itu
sekali lagi saya meneruskan keegoan saya apabila
isteri meminta saya
menelefon ayah di kampung seperti yang saya lakukan
setiap kali ayah pulang dengan bas. Malam berikutnya,
isteri bertanya lagi sudahkah saya
hubungi ayah. "Takkan tak sampai-sampai lagi," jawab
saya meninggikan suara.

Dinihari itu, saya menerima panggilan telefon dari
Hospital Teluk Intan. "Pak Long dah tak ada..." kata
sepupu saya di hujung talian. "Dia meninggal
5 minit tadi selepas mengadu sesak nafas Maghrib
semalam." Terlalu sebak dia hendak meneruskan
kata-kata, selain meminta saya pulang segera. Saya
terjelepok di lantai. Gagang masih di tangan. Isteri
datang menerpa.
"Kenapa bang?" Saya hanya menggeleng-geleng, agak lama
baru mampu memberitahu "Ayah
dah tak ada!" Tiba di kampung sayalah yang paling hiba
sekali. Tidak berhenti-henti menangis berbanding kakak
dan adik-adik saya. Barulah
saya sedar betapa berharganya seorang ayah dalam hidup
ini. Kek pisang, kata-kata saya pada ayah, sikapnya
semasa saya di Puduraya, kata-kata isteri membeli
tiket silih berganti menyerbu fikiran. Hanya Tuhan
yang tahu betapa luluhnya
hati saya apabila teringatkan itu semua.

Saya amat terasa kehilangan ayah yang pernah menjadi
tempat saya meluahkan rasa, seorang rakan yang sering
bersimpati dan ayah yang cukup mengerti perasaan
seorang anak. Kenapalah saya tidak dapat membaca gerak
rasa seorang tua yang merindui belaian kasih sayang
daripada seorang anak yang akan ditinggalkan buat
selama-lamanya.

Kini telah 5 tahun berlalu. Setiap kali pulang ke
kampung, hati saya bagai dirobek-robek apabila
memandang nisan di atas pusara ayah. Saya tidak
dapat menahan air mata apabila terkenangkan semula
peristiwa pada hari-hari terakhir saya bersamanya.
Saya merasa amat bersalah dan tidak akan memaafkan
diri ini.
Benarlah kata orang, kalau hendak berbakti biarlah
semasa ayah dan ibu masih ada. Apabila sudah tiada,
menangis air mata darah sekalipun
tidak bererti lagi. Kepada pembaca yang masih ada
ayah, jagalah perasaan seorang tua. Kasihi mereka
sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil dulu.
RENUNGKANLAH.......

No comments: